Catatan pengalaman korban di Ndjamina Chad. – bahagian 1

Jam 5.30 pagi matahari sudah mula memancarkan nurnya menerangi bumi Ndjamina, Chad. Kami yang masih lagi cerah mata dengan waktu Malaysia sudah mula bangun seawal jam 2 pagi memandangkan jarak waktu antara Malaysia dengan Chad ialah selama 5 jam.

\"\" Bersiap pergi solat Hari Raya Aidiladha

Berkat kemuliaan Aidil Adha, bumi Ndjamina disirami hujan renyai-renyai. Menyejukkan susana. Subhanallah.. pagi yang sangat tenang.

Seawal jam 7 pagi kami bergerak ke Masjid Abbas Sulum. Salah sebuah masjid yang tertua di ibu kota Chad. Walaupun begitu ia tidaklah begitu gah. Hanya mungkin besar sedikit dari surau RnR di lebuhraya Malaysia. Itulah realiti kehidupan mereka di sana.

\"\"

Dalam renyai hujan dan bersesak-sesak para jemaah, kami berjaya mencelah menempatkan diri dalam barisan saf.. Kehadiran kami semestinya mencuri perhatian para jemaah. Wajah asia lengkap berbaju melayu bersamping semestinya satu warna baru dimata mereka.. Jiwa Melayu.. Budaya Melayu.. Satu kebanggaan apabila dapat mengenakan busana ini di tengah bandar Afrika ini..

Selesai solat dan khutbah Aidil Adha, kami dijemput bertemu dengan Syeikh Ibrahim Sulum. Salah seorang ulama besar di Ndjamina ini. Pertemuan penuh kasih sayang. Walau belum pernah kenal dan bertemu, pertemuan seolah kawan lama yang lama tidak bertemu..

Kami dibawa balik ke penginapan untuk bersiap-siap ke kem pelarian Gawi. Salah satu kem pelarian yang menempatkan lebih 5000 pelarian dari Republik Afrika Tengah. Pisau sembelih yang sudah lama diasah berkilat bakal beraksi lagi tahun ini setelah beraksi di bumi Rabak, Nil Putih, Sudan tahun lepas…

\"\"

Oleh kerana hujan, jalan yang sudah sedia sukar semakin sukar. Becak, berselut dan lopak yang dalam disana sini. Banyak kereta dan lori tersekat di dalam lopak jalan. Alhamdulillah Allah memudahkan kami walau jalan yang sebegitu..

Alhamdulillah.. Kami selamat sampai ke tempat tujuan. Kami disambut penuh keterujaan dari pihak pengurusan kem pelarian dan para pelarian. Dengan wajah yang bercampur-campur antara gembira, pelik dan teruja mereka mengerumuni kami. Pada wajah mereka saya dapat melihat penderitaan yang teramat sangat hasil kebencian manusia..

Kem Gawi ini adalah satu kawasan stadium yang diubah menjadi kem pelarian. Dengan semangat satu akidah dan kemanusiaan, kerajaan Chad bermurah hati menyediakan prasanarana ini untuk mereka.

Alhamdulillah satu majlis kecil diadakan di ruang kaki lima dewan lama. Ketua pelarian di sini mula menceritakan keadaan mereka dalam bahasa arab dibantu oleh Brother Abdul Qadir. Salah seorang pembantu kami di sini yang menterjemahkan untuk para delegasi dalam bahasa Inggeris.

Mereka menceritakan pembunuhan kejam yang berlaku di Republik Afrika Tengah. Pembersihan etnik yang sangat kejam berlaku bermula tahun 2012. Tidak ada salah mereka kecuali hanya kerana mereka mengucapkan syahadah dan hanya menyembah Allah yang satu..

Pembunuhan yang dilakukan oleh pelampau kristian disana kepada minoriti muslim. Dibantu oleh pihak kerajaan Afrika Tengah. Pembunuhan terbuka di jalan-jalan. Diserang di dalam rumah-rumah mereka. Yang lebih menyedihkan jasad saudara mara mereka dicincang, dimasak dan dimakan!!. Allahu Akbar!.

Tidak setakat itu, lebih menyayat hati, ibu-ibu mengandung dibunuh dan di belah perut-perut mereka. Dikeluarkan bayi dan janin juga dimakan!!. Anak-anak kecil juga dia bunuh di hadapan ibu dan ayah mereka. Ketika ini, penterjemah kami Abdul Qadir sudah tidak mampu menterjamah. Hanya air mata sahaja yang mengalir deras tidak mampu berkata-kata. Saya terpaksa mengambil alih penterjemahan dalam bahasa melayu pula.. Suasana hening menjadi saksi kesedihan yang teramat sangat dek kerana kenangan pahit yang kembali diusik..

Giliran Presiden Yayasan Amal Malaysia, Tuan Hj Hussin Ismail memberi ucapan. Beliau memulakan muqaddimah ucapannya dengan sepotong ayat Al Quran dari surah Al Ankabut Ayat 2 dan 3. “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: \”Kami beriman\”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”.

Bacaan ayat-ayat suci ini disambut dengan laungan takbir dan senyuman dari wajah-wajah mereka. Mengubat kesedihan dan kesengsaraan mereka. Subhanallah!!, saya melihat bukti sebuah keimanan dihadapan mata saya.

Bagaimana keadaan kem pelarian??. Allahu Akbar!!.. Sangat dhaif!..

Bersambung………

\"\" \"\"

(Alhamdulillah… hari ini kami berjaya menyembelih sebanyak 300 ekor kambing di kawasan pelarian ini. 300 ekor kambing untuk pelarian seramai itu semestinya tidak mencukupi… Sejemput daging semestinya tidak mampu menyelesaikan krisis yang berlaku.. Akan tetapi paling kurang memberikan senyuman dan penderitaan yang dirasa dan menjadi kunci kepada bantuan yang seterusnya.. Terima Kasih Rakyat Malaysia..)

Imam Muda Fakhrul
Gawi Refugees Camp
Ndjamina, Chad
22 Ogos 2018