KESIBUKAN masyarakat kota mencari rezeki dan membesarkan anak-anak pada hari ini menyebabkan pusat jagaan orang tua menjadi pilihan untuk anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke premis berkenaan.
Namun, selalu kita dengar kata-kata begini: \”Seorang ibu mampu membesarkan 10 orang anak, namun 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.\”
Ya, ia bukan sekadar omongan semata-mata, tetapi realitinya memang berlaku pada zaman milenial ini.
Dari sudut agama, setiap anak wajib menjaga kedua-dua orang tua mereka dengan baik. Mereka juga wajib memelihara adab dan sopan tatkala berdepan dengan ibu bapa masing-masing.
Firman ALLAH SWT: \”Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…\” (Surah al-Isra\’, ayat 23)
Ayat berkenaan secara jelas menyatakan haram menyakiti ibu bapa sama ada secara fizikal dan mental.
Secara umumnya, kita faham bahawa menempatkan ibu bapa di pusat jagaan orang-orang tua merupakan tindakan yang berdosa.
Namun, jika dilihat dari perspektif yang berbeza, tanggapan itu semakin kurang relevan kerana semakin ramai warga emas memilih untuk tinggal di pusat jagaan berbanding tinggal bersendirian di rumah ketika anak-anak keluar bekerja.
Kehidupan selesa Bahkan, ramai dalam kalangan warga emas sendiri mengakui tindakan itu tidak semestinya bermaksud mereka disingkirkan oleh ahli keluarga kerana faktor usia. Sebaliknya, demi untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa. Sekiranya kita berhasrat untuk menempatkan ibu bapa di pusat jagaan orang tua, berbincanglah dahulu dengan mereka supaya tidak rasa disisihkan.
Jika mereka selesa berada di rumah walaupun bersendirian, carilah pembantu rumah yang amanah untuk menjaga kebajikan kedua-duanya. Jika mereka rela untuk berada di pusat jagaan orang tua, hantarlah mereka ke sana. Namun, hendaklah kerap menjenguk supaya mereka sentiasa rasa dikasihi.
Sekali-sekala ambillah mereka bawa berjalan-jalan, makan dan menziarahi sanak-saudara. Cara sebegini pun sudah dikira menyantuni dan berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika ibu bapa suka dan reda dengan cara sebegini, maka tiadalah dosa bagi si anak.
Secara sosiologinya, apabila ibu bapa meningkat usia tua, mereka mula dilanda kemurungan kerana ketika itu insan yang disayangi mereka semakin hilang. Ditambah pula, tahap kesihatan semakin merosot, kurang aktiviti fizikal dan interaksi dengan orang lain. Segala keperluan perlu diuruskan sendiri.
Pada ketika ini, ibu bapa memerlukan teman untuk berbicara, rawatan kesihatan, kasih sayang dan ilmu kerohanian.
Bukan disisihkan
Melihat kepada keperluan itu, sebenarnya, semua kemudahan itu lengkap di pusat jagaan orang tua yang disediakan oleh pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Oleh sebab itu, kebanyakan penghuni berasa seronok berada di tempat itu kerana dapat menghabiskan masa dengan berkawan dan berinteraksi dengan penghuni lain, selain layanan daripada jururawat atau para sukarelawan yang bertugas.
Meskipun ada yang menganggap mereka seperti disisihkan oleh anak-anak, namun bagi ibu bapa, mereka lebih suka berada di pusat jagaan bagi mendapat perhatian yang baik terutamanya soal kesihatan.
Sebagai cadangan penambahbaikan pusat jagaan orang tua, pelbanyakkanlah kelas-kelas pengisian kerohanian kerana pada saat itu, ibu bapa lebih suka untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
Sebahagian daripada mereka ingin belajar solat, kenal ALLAH dan rasul serta cara-cara untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Mereka sedar bahawa jangka hayat mereka semakin pendek dan mereka mahu pengakhiran yang baik di sisi ALLAH.
Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud (MK Azman) merupakan pendakwah dan Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah. Sebarang maklumbalas mengenai artikel, boleh whatsapp penulis (0196342942)
Artikel ini telah disiarkan dalam Sinar Harian ruangan Kalam pada 5 Julai 2019.