Catatan pengalaman program korban & aqiqah Yayasan Amal Malaysia 2018- bahagian 5

Hari tasyrik ketiga bermula dengan sangat tenang di bumi Cameroon ini. Ketika saya membuka jendela bilik hotel kelihatan air masih lagi menitik dari hujung atap menambah ketenangan pagi seolah-olah tiada langsung ribut ditengah malam tadi. Benarlah kata orang selepas badai, laut pastikan tenang. Cuma situasi saya tika ini ialah selepas ribut awan kan tenang. Begitulah hidup kita yang terkadang dipukul badai ujian untuk memberi kita nilai nikmatnya ketenangan.. Tiba-tiba feeling pula ya.

\"\"

Pagi-pagi ini kami para peserta misi mula setup dapur untuk makan pagi. Beginilah kami sepanjang misi. Untuk menjimatkan kos makanan. Dapur gas disediakan oleh pihak hotel walaupun pada asalnya tidak disediakan. Periuk belanga dan kuali kami beli dan bawa dari Chad. Lebihan makanan yang kami bawa dari Chad masih ada yang berbaki disamping rempah ratus dari Malaysia yang kami bawa siap-siap untuk bekalan kami di sini. Merewang beramai-ramai untuk makan pagi, tengahari dan malam sememangnya merapatkan ukhuwah.

 

\"\"

Bukan senang nak beramai-ramai masak begini. Bos-bos yang besar jawatan yang mengikuti misi biasanya turut ringan tulang seperti orang kebanyakan macam saya. Masing-masing tahu peranan. Ada yang potong bawang, tanak nasi, siang daging, angkut air dan lain-lain. Saya masih ingat kata seloroh Cik Fadhilah,

\"\"anak Tuan Haji Muhammad Muda seorang bekas bos besar Petronas yang bersama dalam misi ini bersama ayahnya. “Adik beradik lain mesti kecoh kalau tengok ayah masak macam ni”.

Jam 10 pagi kami mula bergerak ke kawasan pelarian. Melewati bandar Kousseri, sebuah negeri di utara Cameroon. Hampir 2000km dari ibu negaranya Younde. Suasana negeri yang sangat tenang pada pandangan saya. Jauh berbeza dengan Ndjamina. Tidak ada tentera dan senapang di mana-mana. Mengambil gambar pun bebas di mana sahaja kecuali kawasan-kawasan pihak keselamatan. Deretan rumah dan kedai yang sederhana. Tidak ada bangunan tinggi. Signboard-signboard kedai pun hanya dilukis dan ditulis di atas papan-papan. Jarang yang diprint moden sebagaimana di tempat kita. Pasar-pasarnya pun kelihatan dibina dengan kayu-kayu pancang atau deretan kedai kecil tidak tersusun. Tak kurang juga yang hanya berniaga terbuka di tepi-tepi jalan. Kalau ada pun yang agak tersusun, langsung tidak menarik untuk dikunjungi. Memberi gambaran awal keadaan ekonomi di sini. Apa-apapun suasananya tetap terasa tenang dan selamat. Memberi persepsi baru yang positif kepada saya.

Hari ini kami akan menyembelih 300 ekor lembu di dua kawasan pelarian pelampau agama Bokuharam. Kawasan pelarian Maltam dan Tilde. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 3 jam. Tempatnya bukanlah jauh sangat sebenarnya. Jalannya lurus sahaja tetapi van bergerak belok membelok memandangkan jalan tanpa tar dan berlubang-lubang. Hanya diawal perjalanan sahaja yang bertar. Selebihnya 80% jalan berbatu dan berlubang-lubang. Ada yang sangat dalam sehingga kadang-kadang spontan kami bertakbir bila van terjatuh di dalam lubang sehingga menghentam bodynya. Itu yang perjalanan tersebut memakan masa yang sangat lama.

\"\"Alhamdulillah.. Lambatnya perjalanan memberi ruang kepada kami untuk menghayati panorama bumi Cameroon yang sangat indah. Dataran luas tanpa sebuah pun bukit. Safari hijau terbentang luas. Sesekali terlihat kawanan bangau, burung-burung cantik dan itik-itik yang berwarna-warni yang biasa dilihat di kurungan zoo di Malaysia. Diselangi dengan pemandangan kampung tradisonal masyarakat Cameroon yang unik. Gaya hidup nomad Afrika yang selalu kita lihat di dalam National Geographic sahaja.

Walaubagaimanapun kami difahamkan keindahan ini hanya bertahan untuk dua bulan lagi memandangkan musim panas kemarau akan tiba dan tempat ini akan berubah seratus menjadi kering kontang dan savannah kuning. Iklim tropika kering sememangnya jauh berbeza dengan cuaca kita di Malaysia.

Ketika melayan keindahan bumi Cameroon ini yang agak ekstrim ini, saya sempat juga terfikir bagaimana agaknya para pendakwah terdahulu yang sampai ke sini menyebarkan Islam. Islam sampai ke Cameroon melalui jalan perdagangan emas, rempah ratus, tembaga dan sebagainya sama seperti Tanah Melayu sejak dari abad ke 10 lagi. Hebatnya pendakwah terdahulu. Biasanya kita mendengar seperti di tempat kita fakta “para pedagang arab datang berniaga di Tanah Melayu dalam masa yang sama berdakwah memperkenalkan Islam”.

Sebenarnya bagi saya ayat itu kita perlu betulkan sedikit. “Para pendakwah datang berdakwah ke Tanah Melayu dalam masa yang sama berniaga untuk memperkenalkan Islam. Perdagangan hanyalah sebagai alat untuk menyebarkan Islam. Tujuan utama mereka berdakwah bukan berniaga.

Mereka meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta untuk menyebarkan Islam sehingga Rantau Tanah Melayu menjadi tanah Islam dan Melayu sudah sinonim dengan Islam. Begitu juga apa yang berlaku di Afrika ini khususnya Cameroon ini. 40 peratus rakyatnya muslim manakala majoriti lagi beragama Kristian. Ini statistik bukan ilmiah yang saya ambil dari mulut orang-orang di sini. Fakta tepat mungkin boleh dirujuk di ruangan lain. Jauhnya kita yang digelar “pendakwah” dengan pendakwah sebenar yang mula merintis jalan membuka laluan ini..

Kini negara indah ini di bawah penguasaan Perancis setelah melalui proses perjuangan kemerdekaan yang sangat panjang. Matawang mereka pun Perancis Bahasa utama di Cameroon ini juga bahasa Perancis. Menyukarkan kami untuk berkomunikasi. Alhamdulillah, bahasa arab adalah bahasa kedua. Walaubagaimanapun, bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa Arab yang bercampur aduk dengan bahasa Perancis dan dialek Afrika. Agak sukar untuk berkomunikasi dengan mereka.

Saya bernasib baik, pengalaman saya selalu bergaduh mulut bahasa pasar dengan orang Arab ketika belajar di Syria dan Yaman dulu sangat membantu. Pengalaman empat tahun berturut-turut pergi ke Sudan untuk program korban sebelum ini juga menambah kemampuan saya untuk memahami bahasa arab pasar disini.

Lamunan panjang saya terhenti apabila kami sampai ke kawasan pelarian Maltam. Kami dibawa ke sebuah padang yang sangat luas. Kelihatan dari jauh kawanan lembu-lembu sedang digembala ke tempat kami. 150 ekor semuanya. Padang luas ni menjadi pusat penyembelihan dan pembahagian untuk banyak lagi kem-kem pelarian yang terdekat. Orang ramai yang sudah menanti mula mengerumuni kami. Pelarian disini semuanya dari Nigeria yang hanya sempadannya 10 km dari sini. Mereka dibunuh dengan kejam di tempat mereka bukan kerana isu berlainan agama atau politik tetapi kerana kefahaman agama ekstrim puak Bokuharam yang mendakwa mereka muslim yang benar.
Saya sempat bertanya kepada orang-orang di sini isu yang berlaku. Cerita mereka tentang Bokuharam sangat mengejutkan kami. Siapa Bokuharam ini?..

Bersambung lagi lah ya..

#amalqurban
#feedthepoors
#yayasanamalmalaysia
#amakeranaAllah
#ChadCameroon