Catatan pengalaman program qurban Yayasan Amal Malaysia di Chad & Cameroon

Petang hari kedua kami mula masuk ke sempadan Cameroon. Sampai di sempadan hampir jam 7 petang. Menyeberangi sungai Shari yang memisahkan antara Chad dan Cameroon dalam keadaan cuaca masih lagi cerah. Sungainya tidaklah besar. Hanya seperti Rantau Panjang dan Golok Thailand sahaja.

\"\"

Chad dan Cameroon merupakan tanah Afrika yang sangat subur.. Lebih-lebih lagi pada musim hujan sebegini. Kami difahamkan selepas 3 bulan suasana hijau ini akan bertukar gersang ketika musim panas. Sangat cantik dan mendamaikan. Malaysia juga hijau, tetapi kehijauan yang tidak sama seperti di sini.. Apa yang tidak sama?. Entahlah, saya pun tidak tahu bagaimana untuk ekspresikan keindahannya.. Subhanallah..

\"\"

Kelihatan ramai orang menyeberangi jambatan menyeberangi sempadan hanya berjalan kaki tanpa apa-apa sekatan. Mungkin rakyat Chad. Mungkin juga rakyat Cameroon. Rupanya sama sahaja. Hanya kami orang luar atau orang-orang yang menaiki kereta yang harus berhenti untuk urusan dokumentasi.

Kami diingatkan sekali lagi oleh pengiring kami supaya tidak mengambil gambar di kawasan sempadan ini. Terlalu sensitif katanya. Kalau di bandar-bandar Chad pun sensitif apatah lagi di kawasan sempadan. Kami segera menyimpan telefon-telefon kami. Masih terasa kehangatan bergaduh dengan SB-SB di Chad semalam apabila salah seorang sukarelawan kami mengambil gambar suasana bandar Chad dari dalam van yang sedang bergerak.

\"\"

Tiba-tiba ada seorang SB yang perasan dan rela berlari mengejar kami sambil menjerit. Ditahannya van kami. Perang mulut antara pengiring kami dan SB tersebut menarik perhatian orang ramai sehingga mengerumuni van kami. Tengking menengking tidak berhenti sehinggalah kami memadamkan gambar tersebut satu persatu dihadapan matanya..

Masuk sahaja sekatan Cameroon tiba-tiba Fahmi, wakil Yayasan Amal Malaysia menjerit kepada saya. “Enta tengok tu!!” Sambil menunjuk ke arah sungai. Astaghfirullahal Azim!. Sambil dia tergelak besar. Kelihatan seorang pemuda Afrika mandi sungai tanpa segan silu dalam keadaan telanjang bulat. Saya turut sama tergelak besar!. Tiba-tiba seorang lagi kawannya berbadan sasa, membuka pakai baju dan seluar mandi bersama. Menambah lagi gelak kami!. Salah seorang kawannya yang lengkap berpakaian disitu perasan kami sedang melihat. Diangkatnya tangannya memberi isyarat supaya kami melihat kearah lain. Dia yang mandi telanjang terbuka, kami pula yang harus segan. Gelak kami bertambah besar!.

Belum sempat gelak kami habis, tiba ada seorang lelaki berjalan melewati van kami pergi ke arah satu kawasan terbuka di tidak jauh dari sungai. Tanpa melihat kiri dan kanan. Terus sahaja membuka zip dan kencing berdiri disitu!. Aik!!..

Belum habis saya menganalisa situasi di depan mata saya. Tiba-tiba di hujung jalan. Dalam 50 meter terlihat pula kelibat seorang lelaki berpakai ala-ala kurta putih melorohkan seluarnya tanpa muka bersalah membuang air besar di tepi semak. Bukan dalam semak tapi tepi semak.

Kami yang tergelak tadi sudah mula diam. Apa cerita orang Cemeroon ni!!!. Persepsi negatif pertama yang mula di pahat di dalam kepala. Saya tiba-tiba rasa nak marah. Mana maruah sebagai seorang manusia?. Saya sebut pada Fahmi di sebelah. Betul sangat apa yang Allah sebut dalam Al Quran, manusia yang tidak menggunakan akalnya lebih teruk dari binatang ternakan. Binatang tak apalah dia tidak ada akal. Manusia berakal tidak perlu di ajar untuk malu dalam situasi begini..

Dalam panas mata melihat gelagat manusia sambil menunggu urusan dokumentasi yang sudah 2 jam tidak siap-siap, Allah tenangkan kami dengan pemandangan matahari terbenam di ufuk langit. Sungguh indah dipandang. Cantik sungguh bumi Cameroon ini. Tak tertahan tangan kami untuk tidak mengambil gambar mengabadikan pemandangan ini untuk tatapan kenangan..

Alhamdulillah, setelah urusan dokumentasi kami selesai, kami mula bergerak masuk melepasi sempadan ke arah bandar Kausseri. Salah satu negeri di utara Cameroon. Keadaan cerah tadi sudah bertukar gelap segelap gelapnya. Langsung tidak ada lampu jalan. Hanya ada lampu-lampu kenderaan dan kedai-kedai kecil di tepi jalan.

Kami pun sudah teramat keletihan. Kepenatan menyembelih siang tadi sebanyak 500 ekor kambing dalam keadaan yang sungguh ekstrim ditambah pula dengan perjalanan ke sempadan yang agak mencabar juga dengan jalan yang tidak sempurna menyebabkan kami sudah tidak mampu untuk teruja melihat suasana baru.. Hanya pancuran air mandi, tilam dan bantal sahaja yang terbayang di kepala.

\"\"

Tidak lama kemudian, kami sampai ke hotel penginapan. Keadaan hotelnya?. Bolehlah nak hidup!. Meja dan bangku yang bergoyang uzur. Tilam yang tenggelam tak naik-naik bila baring dan bantal yang hampir hancur. Bilik air pula pecah-pecah. Aircond bilik saya pulak tidak berfungsi. Aaahhh!.. tidur sajalah. Apa saja asal boleh baring. Baru sahaja tutup lampu dan melelapkan mata. Nyamuk pula datang menyerang bertubi-tubi. Nasib baik saya sudah dapatkan suntikan yellow fever sebelum datang ke sini dulu.

Tiba-tiba hujan turun lebat mencurah-curah bagai ribut. Tempiasnya masuk ke dalam bilik. Alhamdulillah..melegakan panas yang membahang. Nyamuk pun nyamuklah. Letih punya pasal.. tetap mampu untuk tidur.. Sesekali teman sebilik saya Afifi mendengus di tengah malam. Mungkin kepanasan atau tersentak dek tujahan tusukan nyamuk.

Sebelum melelapkan mata, saya masih lagi mampu tersenyum. Inilah nikmat musafir melihat negara orang yang lebih susah dari kita. Kesusahan inilah yang menjadi nikmat pengembara untuk dicerita.. Pahit yang akhirnya menjadi manis untuk dikenang..

Saya terfikir juga, dengan persepsi pertama memasuki bumi Cameroon ini, adakah urusan kami akan dipermudahkan??.. Bagaimana orangnya?. Apa yang sedang menunggu?. Hanya Allah yang mengetahui…

Rupa-rupanya pengalaman baru yang tidak dapat dilupakan sedang menanti kami..

Bersambung lagi daa…

#amalqurban
#feedthepoors
#yayasanamalmalaysia
#amalkeranaAllah
#ChadCameroon