10 Zulhijah, seluruh umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha. Sinonimnya, hari raya ini dikaitkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar RA.

Manakala, kita sebagai hamba-Nya dituntut untuk menjalankan ibadah korban dengan menyembelih binatang bagi yang berkemampuan.

Berbicara perihal berkorban, dua atau tiga bulan sebelum menjelang raya, malah awal tahun lagi masyarakat Islam yang berkemampuan akan mencari haiwan korban sama ada lembu, kambing, biri-biri atau unta.

Menekuni ibadah korban, selain dalam negara ada yang memilih untuk melakukannya di luar negara seperti Kemboja, Vietnam, Myanmar, Mindanoa dan banyak lagi negara luar yang lain.

Negara berkenaan bukanlah negara yang majoritinya penduduk Islam. Umat Islam di sana hanyalah golongan minoriti, tetapi ramai juga yang berpusu-pusu melaksanakan ibadah korban di sana.

Banyak hikmah
Apa pun, sama ada dilakukan di dalam mahupun di luar negara, beribadah korban terselit banyak hikmah. Ibadah korban dapat menghidupkan erti pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Ismail AS.

Pendakwah dan agen AmalQurban, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud (Ustaz MK Azman) memberitahu, korban itu sebagai tanda pengabdian diri dan tunduk patuh kepada ALLAH SWT serta menambah rasa kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Atas dasar inilah kita melakukan ibadah korban dalam negara dan di negara yang dilanda kemiskinan, kebuluran, mangsa peperangan, mangsa pelarian akibat krisis ekonomi dan politik.

\”Melakukan ibadah korban di luar negara bukan semata-mata menyembelih haiwan, tetapi bermatlamatkan untuk membantu memberi makan dan menjalinkan hubungan persaudaraan.

\”Sesuatu yang menggembirakan apabila saya melihat kesedaran dalam kalangan umat Islam di negara ini untuk melakukan ibadah korban Aidiladha dan pada hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) jauh semakin baik berbanding beberapa tahun yang lalu.

\”Ibadah korban atau udhiyyah ialah menyembelih haiwan yang terdiri daripada unta, lembu, kerbau atau kambing dengan tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Ia adalah sunat mu\’akkad yakni sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam,\” katanya.

Menurut Ustaz MK Azman, hukum melakukan ibadah korban menjadi wajib apabila seseorang itu bernazar atas sebab tertentu atau melakukan lafaz ta\’yin ke atas haiwan yang dibeli.

\”Contohnya jika seseorang itu membeli haiwan dengan tujuan untuk korban. Kemudian ditanya oleh orang mengenai haiwan tersebut. Maka dia menjawab: \”Haiwan ini adalah haiwan korban\”. Maka haiwan tersebut sudah menjadi korban wajib disebabkan ta\’yin,\” katanya yang turut menjadi sukarelawan bagi Yayasan Amal Malaysia.

Menurutnya, wajib ke atasnya menyembelih dan bersedekah kesemuanya dan haram ke atasnya memakan daging tersebut. Tetapi, jika dia menjawab: \”Haiwan ini adalah untuk korban. Insya-ALLAH\”. Maka tidak menjadi wajib.

Isu berkaitan lafaz ta\’yin ini jarang diambil peduli oleh masyarakat kerana ada segelintir daripada masyarakat tidak tahu, sedangkan perihal ini terkandung dalam Kitab Sabil Almuhtadin dan penyelesaiannya untuk ta\’yin ini dinyatakan dalam Kitab Fiqhul Islam wal Adillatuh. Kerana itu, sentiasalah basahi lidah dengan lafaz Insya-ALLAH.


Pentingkah kekuatan akidah

ALLAH berfirman: \”Sungguh Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH).\” (Surah Al-Kauthar: 1-2)

Berkongsi persoalan mengenai berdasarkan syariat, Ustaz MK Azman mendapati banyak soalan orang ramai berkaitan mana yang lebih utama (afdal) beribadah korban di dalam atau luar negara.

\”Setelah menilai situasi masyarakat Islam dunia pada hari ini, melakukan ibadah korban di luar negara adalah lebih afdal berbanding melakukannya di dalam negara.

\”Keghairahan melakukan ibadah korban di tempat sendiri dengan menyembelih berpuluh-puluh ekor lembu, kambing menyebabkan berlakunya lambakan daging pada setiap rumah tetangga beragama Islam.

\”Bayangkan, daging korban disimpan berminggu-minggu. Daging yang telah dimasak tidak habis dimakan akhirnya dibuang begitu saja. Hal ini tidak berlaku pada haiwan korban yang dilakukan di luar negara.

Daging yang dimasak dan diagihkan dimakan sehingga habis tanpa membuangnya walaupun sedikit.

\”Pernah saya melihat dengan mata sendiri, kanak-kanak di Sudan mengikis tulang-tulang lembu tanpa daging yang disembelih sehari sebelumnya sekadar untuk mengecap rasanya sahaja.\”

Beliau menambah, kemiskinan menyebabkan sebahagian daripada orang Islam menggadaikan akidah untuk mendapatkan makanan dan ubat-ubatan lalu bertukar agama menjadi penganut agama lain.

Melakukan ibadah korban di luar negara bukan semata-mata untuk memberi makan tetapi untuk memberi kekuatan kepada mereka kekal berada dalam akidah Islam.

Perlu Bantuan

Tujuan melakukan ibadah korban di luar negara seperti di Kemboja, Pattani, Sudan, Afrika dan Uganda adalah disebabkan beberapa faktor.

Kebiasaannya orang yang melakukan korban di luar negara ini adalah atas faktor mengambil berat terhadap kesukaran yang dialami Muslim di negara tersebut.

Kebanyakan mereka berada dalam kesusahan, kesakitan, kelaparan dan amat memerlukan bantuan dan perhatian umat Islam dari negara lain.

\”Disunatkan bagi orang yang melakukan ibadah korban menyembelih sendiri haiwan korbannya sekiranya dia mampu. Sekiranya dia tidak mampu atas faktor tiada kekuatan atau berada jauh dari haiwan korban, maka seseorang itu boleh mewakilkan orang lain untuk menyembelihnya.

\”Begitu juga sunat bagi orang yang melakukan korban hadir ke tempat sembelihan dan melihat sendiri binatang tersebut semasa disembelih. ALLAH kurniakan pahala untuk orang yang melihat haiwan tersebut.

Orang yang melakukan korban di luar negara walaupun tidak mampu melihatnya, ALLAH tetap kurniakan pahala kepadanya atas manfaat yang lain daripada ibadah korbannya,\” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan pandangan ulama, ibadah korban adalah afdal dilakukan dalam negara sendiri dan di negara yang menghadapi kesukaran.

Seseorang itu bebas untuk memilih sama ada hendak dilakukan di dalam negara sendiri atau ingin melakukannya di negara luar. Jika ada harta yang lebih, tidak ada masalah sekiranya dia melakukannya di kedua-dua tempat.

Syarat sembelihan

Ustaz MK Azman juga berkongsi mengenai syarat-syarat untuk menyembelih binatang sama ada untuk tujuan korban atau tidak adalah sama iaitu hendaklah orang yang menyembelih itu beragama Islam, mumaiyiz dan berakal waras.

Ahli kitab sama ada Yahudi ataupun Nasrani juga boleh untuk menyembelih tetapi hendaklah salah seorang datuk neneknya menjadi ahli kitab sebelum berlakunya penyelewengan terhadap kitab tersebut.

Penyembelih mestilah menggunakan alatan yang tajam untuk menyembelih haiwan korban tersebut dan diniatkan hanya kerana ALLAH.

Berhubung dengan pembahagian atau pengagihan daging korban, ia perlu merujuk kepada status korban itu dilakukan.

Jika seseorang itu melakukan korban wajib (korban nazar), haram orang yang melakukan korban itu memakan daging tersebut. Daging tersebut wajib disedekahkan kepada fakir miskin.

Jika dia telah memakannya sedikit, wajib menggantikannya dengan daging lain yang seumpama dengannya.

Jika korban tersebut adalah korban sunat, maka harus dia dan ahli keluarganya untuk makan sebahagiannya dan sebahagian lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan dihadiahkan kepada sahabat dan jiran tetangga.

Orang kaya pun layak menerimanya dengan syarat daging itu tidak dijual untuk meraih keuntungan.

Haram diberikan daging tersebut kepada orang bukan Islam. Cara pembahagian yang terbaik menurut golongan fuqaha ialah 1/3 untuk dimakan sendiri, 1/3 dihadiahkan dan 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Makan hati haiwan korban

Nabi Muhammad SAW apabila tibanya Aidiladha, Baginda SAW akan melakukan ibadah korban untuk dirinya. Hukum korban bagi Nabi Muhammad SAW adalah wajib dan hukum itu khusus untuk Baginda SAW sahaja.

Baginda SAW sendiri yang menyembelih haiwan korban dan memakan sedikit daripada daging tersebut. Antara bahagian paling utama dimakan ialah hati dan selebihnya akan disedekahkan.

Ini kerana Nabi SAW juga memakan hati haiwan korbannya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi: \”Bahawa Rasulullah SAW memakan sebahagian daripada hati haiwan korbannya.\”

Sahabat Nabi SAW seperti Abu Bakar dan Umar ada kalanya tidak melakukan ibadah korban kerana takut golongan Muslimin menyangka ia adalah wajib.

Ibadah korban juga turut dilakukan oleh Saidina Ali bin Abi Talib berdasarkan kepada hadis: \”Bahawa dia (yakni Ali RA) menyembelih korban dengan dua ekor biri-biri bagi pihak Nabi SAW dan dua ekor lagi bagi pihak dirinya sendiri dan dia berkata: \”Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruhku agar menyembelih korban untuknya selama-lamanya, maka aku pun menyembelih korban bagi pihaknya selama-lamanya (yakni selagi aku hidup).\” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi & Al-Baihaqi)
Kata Al-Baihaqi, jika sabit hadis ini maka ia menjadi sah menyembelih korban bagi pihak orang yang telah meninggal dunia.

Peluang Melakukan Ibadah Korban Pada Harga Murah

Ibadah korban adalah sunnah yang dituntut dalam Islam dan mempunyai ganjaran yang besar di sisi-Nya.

Budaya berkorban, sepatutnya sebati dengan kehidupan umat Islam dalam membantu mereka yang susah. Setiap pengorbanan dalam bentuk harta, masa, tenaga dan lain-lainnya dijanjikan ganjaran yang besar oleh ALLAH SWT.

Pengurus AmalQurban Yayasan Amal Malaysia, Umar Abd Aziz Hj Zaman berkata, pada tahun ini harga ibadah korban masih sama seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu RM350 bagi setiap bahagian lembu, RM500 bagi setiap bahagian unta dan RM450 bagi setiao ekor kambing. Pihak kami masih membuka ruang kepada orang ramai yang ingin melakukan waqaf alQuran dengan harga RM25 sebuah. AlQuran ini akan diserahkan kepada anak-anak yang belajar alquran di sekolah-sekolah dah maahad tahfiz di benua afrika.

\”Memandangkan keadaan di Sudan masih belum aman sepenuhnya, maka pada tahun ini AmalQurban mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan negara Sudan sebagai lokasi korban pada tahun ini. Antara pilihan kami tahun ini ialah negara Cameroon, Chad, Kemboja, Filipina dan dalam negara iaitu Sabah dan Sarawak.

Masyarakat Islam disarankan untuk membudayakan ibadah korban dan memperluaskan kebaikannya. Ini secara langsung kita dapat menghulurkan bantuan kepada umat Islam yang sering ternanti-nanti berita gembira setiap kali datangnya Aidiladha.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.amalqurban.com atau hubungi 019-6342942. Selain penyertaan korban, akikah juga boleh dibuat secara online dan Aplikasi WhatsApp.

Bayaran boleh dibuat ke akaun Yayasan Amal Malaysia di
CIMB – 8600 296 6190
Maybank – 5530 1012 2090
Bank Islam – 1305 3010 0031 49

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada 18 September 2015