1. Kenapa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab?

Dalam sejarah peradaban manusia, kita telah diturunkan 4 buah kitab yang wajib kita imani. Ia adalah kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Kitab Taurat telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dalam bahasa Ibrani. Dalam Kitab Taurat ini terkandung hukum syarak dan keyakinan yang betul. Ia juga menerangkan bahawa seorang nabi akhir zaman (Muhammad s.a.w.) akan lahir dari keturunan Nabi Ismail a.s. Kitab Taurat yang asli tidak ditemui lagi pada masa sekarang kerana isinya telah ditokok tambah oleh orang-orang yahudi.

Kitab Zabur telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Daud a.s. dalam bahasa Qibthi. Kitab Zabur tidak mengandungi hukum perundangan. Kandungannya hanya mengenai perkhabaran, cerita, zikir, doa serta hikmah-hikmah. Oleh sebab itu Nabi Daud tidak mempunyai syariat tersendiri, ia dan umatnya hanya mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Musa.

Kitab Injil diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Isa a.s. dalam bahasa Suryani. Diantara kandungannya yang utama ialah menyeru umat manusia agar mengEsakan Allah s.w.t. Kitab Injil juga memberitakan akan kelahiran seorang nabi dan rasul diakhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Yahudi telah mengingkari akan kebenaran Allah s.w.t. Mereka telah menghimpunkan kitab-kitab ini menjadi satu yang diberi nama “bible” kemudian mereka ubah isi kandungannya mengikut kehendak hati mereka agar berkesesuaian dengan kehidupan mereka seharian. Bible ini terbahagi kepada dua bahagian besar. Pertama bahagian Taurat yang dinamakan dengan Perjanjian Lama (Old Testament). Kedua bahagia Injil yang dinamakan dengan Perjanjian baru (New Testament).

Kitab suci Al Quran adalah sebuah kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di dalam Al Quran mengandungi hukum-hukum serta peraturan yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada untuk mencapai kemakmuran hidup di dunia mahupun untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Ajaran yang disampaikan di dalam Al Quran sesuai untuk seluruh umat manusia dipermukaan bumi ini tidak kira bangsa dan keturunannya. Ajaran yang termuat di dalam Al Quran lengkap dan sempurna, ia tidak akan berubah dan kekal selama-lamanya bahkan ia tetap dipelihara oleh Allah s.w.t.

Alquran diturunkan dalam bahasa Arab. Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.” Antara sebab kenapa Allah Taala menurunkan Al- Quran dalam bahasa Arab adalah kerana ia diturunkan kepada Nabi dan Rasul yang berbangsa Arab. Nabi Muhammad pada ketika itu dilahirkan, dibesarkan dan bermuamalah dalam kalangan masyarakat Arab di kota Mekah. Oleh kerana Rasulullah SAW diutuskan kepada masyarakat Arab, maka patutlah Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab agar mereka lebih mudah untuk memahami isi kandungan Al-Quran dan beramala dengannya. Sudah pasti akan menjadi kesukaran sekiranya Al-Quran diturunkan dalam bahasa Inggeris, sedangkan masyarakat ketika itu adalah bangsa Arab. Pasti mereka akan sukar memahami isi kandungan Al-Quran.

Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling jelas, paling terang, paling luas, dan paling banyak perbendaharaan kata-katanya untuk mengungkapkan pelbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia. Kerana itulah Allah ‎ﷻ menurunkan Kitab-Nya yang paling mulia dengan bahasa yang paling mulia di antara bahasa-bahasa lainnya yang disampaikan-Nya kepada rasul yang paling mulia melalui perantaraan malaikat yang paling mulia pada bulan yang paling mulia iaitu Ramadhan pada malam yang paling mulia iaitu malam lailatul al-qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud “Bulan Ramadan yang diturunkan di dalamnya Al-Qur’an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara haq dan batil.”

Bahasa Arab adalah antara 10 bahasa yang tertua di dunia. Namun tidak berlaku sebarang perubahan pada tatabahasanya. Bahasa Arab adalah bahasa yang kaya dengan ilmu nahu, ilmu sorof dan ilmu balaqhah (ilmu bayan, ilmu ma’ani dan ilmu badi’). Dalam bahasa Arab, kita dapat mengetahui maksud ayat-ayat dalam A-Quran membawa erti rasa gembira, sindir atau marah. Hal ini tidak berlaku dalam bahasa lain seperti bahasa Melayu. Ayat yang membawa maksud marah, sindir dan gembira hendaklah dilafazkan dan dituturkan dengan menggunakan intonasi yang dikehendaki oleh penutur. Itu lah keistimewan Bahasa Arab.

2. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Apakah fungsi al-Quran kepada baginda dan umat baginda sehingga ia menjadi rujukan pada hari ini?

Al-Quran adalah satu mukjizat teragung Rasulullah SAW. Ia akan kekal berada di tangan dan dalam hati umat Islam sehingga hari kiamat. Al-Quran dan hadis Rasulullah adalah tinggalan yang amat bermakna kepada umat Islam. Jika ditinggalkan Al-Quran dan Hadis, nescaya umat manusia akan hidup dalam kegelapan dan kesesatan. Rasulullah amat inginkan seluruh manusia beriman kepada Allah dan berpegang kepada Al-Quran. Al-Quran berfungsi sebagai memberi petunjuk. Al Quran menjadi petunjuk bagi manusia secara umum, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa dan petunjuk bagi orang-orang yang beriman. Fungsi Al Quran sebagai pemisah adalah dapat memisahkan antara yang hak dan yang batil, atau antara yang benar dan yang salah. Di dalam Al Quran dijelaskan beberapa hal mengenai yang boleh dilakukan atau yang baik, dan yang tidak boleh dilakukan atau yang buruk.

Al-Quran juga menjadi penawar bagi penyakit mental di mana membaca Al-Quran dan mengamalkannya dapat terhindar dari penyakit hati atau masalah mental. Meskipun Al-Quran hanya sebaris tulisan saja, namun membacanya dapat memberikan kelegaan bagi setiap orang yang beriman. Di dalam Al-Quran terdapat banyak pengajaran, nasihat-nasihat, peringatan tentang kehidupan bagi orang-orang yang bertakwa, yang berjalan di jalan Allah. Nasihat yang terdapat di dalam Al Quran biasanya berkaitan dengan sebuah peristiwa atau kejadian, yang boleh dijadikan pengajaran bagi orang-orang di masa sekarang atau masa hadapan. Al-Quran juga menjadi sumber rujukan hukum hakam agama. Akal manusia tidak mampu untuk menetapkan hukuman seadil-adilnya, maka Allah datangkan Al-Quran agar manusia berhukum dengan hukuman yang telah Allah tentukan. Umat Islam dilarang untuk ingkar dari melaksanakan hukum Allah. Jika ingkar, pasti sistem nilai, sistem ekonomi dan kemanusiaan akan rosak dan hancur. Sebab itu, jika seseorang itu beriktikad bahawa undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan berkesan dari undang-undang Allah, dia boleh menjadi kafir. Itulah ingatan dan amaran dari Allah.

3. Apakah istimewanya turunnya al-Quran sehingga ia dikatakan sebagai saksi kerasulan Nabi Muhammad SAW?

Al-Quran mengandungi beberapa keistimewaan yang menjadi bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW. Al-Quran terpelihara keasliannya kerana ia sepenuhnya diturunkan oleh Allah. Selepas penurunannya, ia dijaga dan diurus dengan rapi dari segi tulisan dan hafalan. Ini boleh dibuktikan melalui firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah Al Hijr : 9)

Keistimewaan Al-Quran berbanding kitab-kitab samawi yang lain adalah Taurat dan Injil telah banyak diubah oleh pemeluknya. Namun, tiada siapa yang dapat mengubah isi kandungan Al-Quran. Walaupun terdapat beberapa percubaan untuk mengubah isi kandungannya, tetapi segalanya gagal dan menemui jalan buntu untuk meniru Al-Quran.
Bahkan, dalam Al-Quran juga terkandung cabaran terhadap orang-orang kafir untuk meniru isi kandungan Al-Quran. Namun mereka gagal untuk mencipta ayat setanding Al-Quran. Begitulah juga usaha-usaha untuk memalsukan Al-Quran atau mencipta isi seperti Al-Quran telah cuba dilakukan oleh orang-orang kafir sejak berzaman dahulu, tetapi tidak pernah berhasil.

Umat manusia semakin sukar untuk menolak kebenaran Al-Quran apabila banyak ayat-ayat Al-Quran selari dengan penemuan Sains Moden. Banyak fakta-fakta ilmiah yang baru terbongkar pada era moden ini yang ternyata telah disebutkan di dalam Al-Quran lebih dari 14 abad yang lepas. Ini dapat dibuktikan dengan tulisan Prof Keith L. Moore melalui karyanya yang berjudul ‘The Developing Human’. Karyanya fokus kepada tinjauan perkembangan embriologi manusia dalam Al-Quran dan hadis. Beliau merupakan seorang professor yang pakar bidang anatomi dan pembedahan dari Universiti Toronto, Kanada. Karya tersebut telah menghuraikan bagaimana Al-Quran mampu menggambarkan proses pembentukan embrio dengan tepat dan terperinci sedangkan teknologi pada masa itu tidak setaraf seperti hari ini.

Antara contoh yang lain adalah proses pembentukan hujan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dialah Allah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikenhendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat air hujan keluar dari celah-celahnya; maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakiNya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.” (Surah Ar-Ruum : 48)

Inilah proses pembentukan hujan yang dijelaskan oleh Allah yang tidak mampu difikirkan oleh manusia.

Antara keistimewaan lain bagi membukti kerasulan Nabi Muhammad SAW ialah Al-Quran mampu untuk meruntuhkan kegoan orang-orang kafir melalui penggunaan gaya bahasa sastera yang tinggi. Ketika Al-Quran diturunkan di tanah Arab, masyarakat Arab sangat menghargai sastera. Al-Quran diturunkan dengan gaya bahasa yang indah dan tinggi yang tidak mampu ditandingi sesiapa pun.
Hal ini juga diakui oleh musuh-musuh Islam pada ketika itu seperti kata-kata Al-Wahid bin Mughirah, salah seorang tokoh pembesar Quraisy;

“Demi Allah, ini bukanlah syair, bukan sihir, bukan pula igauan orang gila. Sesungguhnya ia adalah Kalamullah yang memiliki kemanisan dan keindahan. Sesungguhnya ia (al-Qur’an) sangat tinggi (agung) dan tidak ada yang melebihinya.”

Bukti saintifik ini pun sudah membuatkan orang kafir sait kepala memikirkannya apatahlagi apabila Al-Quran mampu menyebut atau meramalkan peristiwa akan datang dengan tepat sekali. Bukti Al-Quran mampu meramalkan kejadian pada masa akan datang terkandung dalam Surah Ar-Ruum ayat 1-4. Allah menceritakan kisah kemenangan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. Allah menyebut, sesudah bangsa Romawi dikalahkan, mereka akan menemui kemenangan dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah mereka menang. Ternyata benar beberapa tahun selepas itu, bangsa Romawi mencapai kemenangan menentang Parsi. Selain itu, keajaiban yang diungkapkan dalam ayat tersebut adalah tentang fakta geografi yang belum pernah ditemui oleh sesiapa pun pada ketika itu. Dalam ayat ketiga surah Ar-Ruum, diberitakan bahawa bangsa Romawi telah dikalahkan di daerah ‘paling rendah di bumi ini’. Selepas kajian dilakukan pada zaman kini bumi paling rendah adalah lembah Palestin.

Itulah antara beberapa keajaiban dan keistimewaan Al-Quran sebagai mukjizat Kerasulan Nabi Muhammad SAW. Tiada siapa yang boleh melawannya. Sesiapa yang melawannya pasti akan lemah dan tersungkur kalah.

Penulis: Ustaz MK Azman (Pengurus Besar Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan)