Bayaran Fidyah Dan Kafarah
Apakah itu fidyah?
Fidyah ialah Hukuman denda ke atas seseorang Islam yang telah Akil baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja dengan melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
Hukum Fidyah
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Sebab-sebab Dikenakan Fidyah
1. Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu yang menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka wajib baginya menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5. Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan
Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
6. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah ke Bulan Ramadhan yang berikutnya, dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan Kecuali bagi mereka yang tiada kemampuan.
Kadar Ketetapan Fidyah adalah RM4 Sehari termasuk kos pengurusan.
IBADAH DAN FIDYAH ANDA KAMI SAMPAIKAN