CATATAN PENGALAMAN BERSAMA UST NORAZLI. MANUSIA HATI KERING YANG SANGAT BERANI!!

Malam ini saya masih lagi teringat-ingat akan Al Marhum Ust Azli. Manusia berhati kering ini Sangat beruntung!!.. Perginya ketika beribadah. Dalam keadaan istiqamah memperjuangkan Islam. Disolatkan ribuan orang. Disemadi di bumi Rasulullah..Pemergiannya didoakan ribuan orang. Hampir semua group whatsapp ustaz-ustaz mendoakan beliau.

\"\"

Sungguh saya cemburu..

Saya tidaklah begitu rapat sangat-sangat dengan Ust Azli. Tetapi kalau jumpa boleh bersembang seperti anak dan ayah.. Pernah bermusafir bersama mengenal insan hebat ini di Syria bersama Muslim Care dan pendalaman Sabah bersama Yayasan Amal Malaysia.

Saya mula kenal rapat Ust Azli ketika menuntut di Syria. Sebelum itu hanya kenal-kenal begitu sahaja. Seorang Ustaz lantang berjambang memimpin kepimpinan Pemuda PAS Pusat ketika itu. Ust Azli bersama rombongan pemuda datang ke Syria untuk membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan pelarian Palestin di Lubnan hasil sumbangan orang ramai melalui Muslim Care dan Yayasan Amal Malaysia.

Saya diamanahkan oleh pihak persatuan pelajar Malaysia untuk mengurus dan membawa rombongan ini ke Beirut. Memandangkan orang lain sedang sibuk dengan peperiksaan, saya dan sahabat saya Adnan Embee sahaja yang agak free ketika itu terpaksa menerima amanah persatuan dalam keadaan saya belum pernah ke Lubnan. Pertama kali ke Lubnan diminta bawa rombongan. Cuak habis!!.

Masa itu Beirut tengah panas iklim politiknya. Sehari sebelum kami bertolak ada menteri tak silap saya menteri perindustrian Lubnan kena bom!. Kawan-kawan persatuan nasihatkan jangan masuk Lubnan. Bahaya!. Tapi rombongan pemuda tetap nak masuk.

Ramai kawan-kawan yang berpesan sebelum ke sana. Masuk sana jangan buat muka mutadayyin ( watak kuat agama) sangat. Dengan maklumat itulah saya berpesan kepada ahli rombongan lebih-lebih lagi ketika sampai ke check point imegresen Lubnan. Jangan pakai kopiah. Buat muka pelancong. Ingat lagi Ust Dr Ustaz Riduan Mohd Nor bergurau dengan Ust Azli, enta kena potong janggut enta!, balas Ust Azli, mati pun ana tak potong!. Saya yang student ini hanya boleh tumpang gelak. ?

Rupanya dia buat sungguh!. Dekat palang imegresen Lubnan. Dia pakai kopiah dan lurut-lurut janggutnya. Menunjuk-nunjuk pada anggota keselematan yang menahan kereta kami. Jantung saya macam nak pecah berdegup. Sudahlahhh!!. Saya ingat lagi anggota keselamatan tu sebut “taliban!”. Ajaibnya kami dilepas dan diberi jalan!. Ust Azli dan rombongan pakat gelak ramai-ramai sebab anggota tu sebut taliban!!. Saya dalam hati macam nak menangis cuak!. Hati kering betul diorang ni!.

Tak habis di situ. Waktu tunggu wakil Hamas sampai di tempat teksi meletakkan kami tengah-tengah bandar Beirut. Waktu asar dah nak habis. Kami belum solat lagi. Intai masjid tak nampak. Tanya orang sekeliling tak tahu masjid kat mana. Akhirnya Ust Azli buat kering lagi. Jom solat atas kaki lima ni katanya. Pakat buat jemaah di kaki lima tengah-tengah pusat bandar metropolitan Beirut. Bayangkanlah!!. Dengan janggut panjang berkopiah. Dia jadi imam. Berjemaah tengah bandar. Kotak-kotak barang bantuan kami susun banyak-banyak tepi kaki lima. Kami jadi tumpuan.

Habis solat, van polis sampai dengan anggota-anggotanya siap senjata nak tahan kami. Pegang kemas tangan Ust Azli. Nasib baik dalam masa yang sama wakil Hamas sampai!. Ust Azli rilex saja. Senyum-senyum lagi. Adoiii!!..

Cerita sampai kami selamat ni panjang lagi. Ringkasnya rupanya ada orang tempatan curiga tengok kami bawa kotak banyak-banyak. Padahal jelas sticker pada kotak barang bantuan tersebut tertulis Muslim Care dan Yayasan Amal Malaysia. Tempat tu pulak hari sebelumnya ada ugutan bom. Kena report. Cepat pulak anggota keselamatan dia sampai. Ish!!, mana kami tahu!.

Cuma nak cerita beraninya Ust Azli ni. Tenang dan rilex sahaja apa situasi.

Almarhum juga suka sangat bergurau. Ingat lagi waktu kami bawa rombongan berjalan di Kota Lama Rom di Busra Syria. Ust Azli boleh main cak-cak dengan Ust Dr Riduan Mohd Nor dan Abg Zul Wahijan. Lari-lari celah dinding batu main cak-cak!!. Saya yang student ni macam “ eh gini rupanya ukhuwah pimpinan-pimpinan pemuda ni ya”. Kat Malaysia kaki demo ceramah berapi. Kat sini macam budak-budak. Menambah respect saya. Ada comelnya disitu.. 

Panjang pulak menulis tengah malam ini.. Malam pertama beliau di alam barzakh.. Semoga penuh kebahagiaan menuai hasil jerih perjuangan wahai Ustaz.. Saya seperti terbayang beliau gelak-gelak di alam sana..

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه.

Tulisan: Imam Muda Fakhrul

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *