RISIKO KESELAMATAN!, TERPAKSA MENYEMBELIH DALAM PENYIKSAAN‼️

Catatan pengalaman program korban di Chad – bahagian 3

Hari kedua kami di Chad. Hari pertama tasyrik di sini.. Pagi yang menenangkan. Matahari mula bersinar seawal jam 5.30 pagi. Memberi nafas awal kehidupan di bumi Chad ini..

Misi korban kami hari ini disambung lagi. 500 ekor kambing lagi amanah rakyat Malaysia akan kami selesaikan insyaAllah. Kami sudah bersiap seawal jam 7 pagi. Tetapi biasalah pengurusan di Afrika ini, jam 10 lebih barulah kami boleh bergerak keluar.. Walaupun janji awalnya akan keluar jam 8 pagi. Buang masa betul!…

\"\"

Program hari ini ialah korban kepada 350 buah khalwah ataupun maahad tahfiz di sekitar kota Ndjamina ini. Program hari ini diurus khas oleh Syeikh Abu Bakar. Presiden persatuan khalwah seluruh Chad yang bernaung dibawahnya 36,000 orang para penghafal Al Quran. Secara umumnya boleh dikatakan semua sekolah tahfiz di Chad ini dalam keadaan yang sangat dhaif dan pelajarnya terdiri dari pelajar-pelajar miskin dan sebahagiannya dari para pelarian. Kedhaifan sekolah tahfiz ini saya akan ceritakan nanti dalam catatan khas insyaAllah..

Perjalanan lebih kurang 40 minit dari tempat penginapan kami memberi masa untuk saya berfikir.. Kepala yang bedenyut sejak korban 300 ekor semalam masih belum pulih sepenuhnya. Maklumlah asyik duduk, bangun dan sembelih jumlah yang sebegitu perlu stamina yang bagus juga. Urat peha juga lenguh dan kata orang Terengganu “demam urat”. Nak berjalan pun sakit. Dah lama saya tidak bersenam. Sekali sekala menyembelih sambil bersenam ini mengejutkan juga urat saraf dalam badan saya.. Terfikir juga, macamana nak hadap 500 ekor hari ini pula..Semoga Allah bantu..

Kami sampai ke perkarangan Masjid As Syariqah. Antara masjid yang besar di sini dan mempunyai halaman yang agak luas. Sampai saja kami di pagar masjid kelihatan ratusan masyarakat miskin berkumpul di luar pagar. Rupanya pagar masjid dikunci. Hanya petugas yang terlibat dengan program korban saja dibenar masuk. Terlihat juga trak polis dan pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas supaya orang ramai yang menanti di luar pagar tidak lolos masuk ke kawasan padang penyembelihan.

\"\"

Ketika kami melewati mereka memasuk perkarangan masjid, kami disambut dengan tepukan, senyuman dan lambaian dari mereka. Subhanallah!..rasa macam jadi hero.

Para pengetua sekolah-sekolah tahfiz ini sudah siap menunggu dibawah pokok. Kami tidak dapat berbual lama memandangkan jumlah yang harus disembelih agak banyak dan kami harus bergerak balik sebelum jam 4 petang kerana petang ini kami akan masuk ke negara Cameroon untuk program seterusnya.

\"\"

Selepas selesai bersalaman dengan para mudir, kami memulakan sembelihan. Kambing-kambing ditarik satu persatu. Menariknya ada juga petugas kanak-kanak yang menarik dan merebahkan kambing-kambing tersebut. Seawal usia 10 tahun pun ada. Kadang-kadang tergelak sakan saya apabila melihat mereka melompat-lompat menjerit sambil memegang kepala atau kaki kambing apabila sesetengah kambing yang mereka pegang terlepas dari genggaman. Lucu betul!.

Sangat mencabar apabila berkerja dalam kepanasan dan matahari terik di atas kepala. Tekak pun selalu sahaja kering dan perit. Nasib baik kami sudah standby air mineral awal-awal yang dibeli dalam perjalanan ke sini. Alhamdulillah… sekali sekala Allah menenangkan kami dengan cuaca redup sekali sekali dek kerana awan tebal yang lalu di atas kepala.. Cukuplah untuk menyejukkan seketika kepala dan badan sebelum ianya panas kembali..

Satu perkara yang saya perasan di Chad ini ialah budaya meraikan tetamu agak kurang jika nak dibandingkan dengan Sudan walaupun mereka sama-sama Afrika. Kalau di Sudan, dimana sahaja kami pergi walau sedhaif mana pun kawasan pelarian, paling kurang mereka akan menyediakan air. Tetapi disini setitik pun mereka tidak jamu kami. Apatah lagi makanan. Kecuali di kawasan pelarian Afrika Tengah semalam. Mungkin lain negara lain budayanya.. Orang Sudan lain, Chad lain dan Afrika Tengah lain pula caranya.. Begitulah sangka baik kami menyedapkan hati.. Tidak mengapalah, nasib baik kami ada bawa sedikit biskut dan air mineral. Cukuplah untuk membasahkan tekak dan mengisi perut.

Proses penyembelihan agak lambat kerana dengan jumlah 500 ekor ini ditarik satu persatu, direbahkan dan disembelih memakan masa juga. Kambing pula dikeluarkan satu kawanan demi satu kawanan dari bangunan ditepi masjid yang dijadikan kandang yang siap berkunci. Saya agak ianya bukan kandang kambing tetapi bangunan tandas lama yang sudah tidak digunakan memandangkan terdapat banyak pintu dan lubang. Tetapi hanya penuh dengan tanah.

Penuh padang luas itu dengan kambing korban. Pikap untuk mengangkut haiwan-haiwan korban yang telah disembelih ini masuk bersilih ganti. Pembahagian dilaksanakan terus walaupun persetujuan asalnya biarkan dahulu sehingga kami selesai menyembelih dan kami mahu ambil gambar semua kambing yang telah disembelih untuk tujuan promosi tahun hadapan. Tapi memandangkan para pengetua tak dapat tunggu lama. Mereka angkut juga. Tak mengapalah, mungkin masing-masing ada urusan yang lain..

Setiap satu khalwah ada wakilnya. Bayangkanlah 360 khalwah. Ini hanya sebahagian dari ribuan khalwah di seluruh Chad. Kecoh juga sebab biasalah.. Orang Afrika ni kalau tak berebut dan bergaduh tak sah!. Kami pedulikan kekecohan mereka, kerja kami untuk selesaikan semua 500 sembelihan hari ini.

Sehingga hampir jam 4 petang kami masih lagi menyembelih. Kepala saya yang pening berdenyut sejak semalam semakin kuat. Sekali sekala saya duduk rehat. Tidak tahulah kerana cuaca yang panas atau kerana terlalu banyak tengok darah. Alhamdulillah..Dr Megat yang membantu saya sekali sekala mengurut-ngurut belakang leher saya mengurangkan denyutan..

Menjelang jam 4 petang kambing masih lagi berbaki lebih kurang 44 ekor. Kawanan terakhir yang masih diletakkan di dalam kandang. Kami harus cepat kerana mesti balik ke rumah penginapan dan bersiap-siap untuk ke sempadan pula. Para petugas sudah mula berkurangan.. Pihak keselamatan juga mula bersiap nak meninggalkan kawasan program. Siapa yang akan kawal kawasan program??. Kambing masih ada lagi. Kami mula bimbang sebab sudah ramai masyarakat luar mula lolos masuk ke kawasan padang. Mungkin shif waktu bertugas mereka sudah habis. Aduh!!. Bagaimana nak kawal dalam keadaan petugas yang mula kurang dan pasukan keselamatan yang sudah meninggalkan kami.

Syeikh Abu Bakar mencadangkan supaya kami mewakilkan kepada mereka baki 44 ekor itu untuk disembelih. Katanya dia tidak dapat menjamin keselamatan kami jika kambing-kambing dari dalam itu dibawa keluar. Pasti orang ramai akan pakat berebut. Katanya lagi, lagipun kamu nak kejar masuk ke Cameroon petang ini. Sekarang sudah lewat!.

Saya fikir betul juga, sebahagian yang lolos masuk ini pun saya nampak bukan main berebut perut dan kepala kambing. Saya cuba mengambil gambar tapi dilarang. Mereka tidak mahu sisi negatif ini dilihat masyarakat luar. Saya akur, ini maruah mereka juga. Memang negara Chad sebuah negara sekuriti. Tidak boleh suka-suka ambil gambar kecuali diizinkan..

Walaupun secara hukumnya kami boleh saja mewakilkan kepada mereka, kami tetap berkeras untuk menyembelih juga kerana ini amanah rakyat Malaysia kepada kami. Mereka menyertai program Amal Qurban ini kerana kami berjanji kami sendiri yang akan menyembelihnya bukan diwakilkan kepada orang lain. Amanah tetap amanah..

Akhirnya keputusan dibuat untuk disembelih di dalam kandang. Bangunan bertutup yang hanya ada satu pintu dan agak gelap. Ketika memasuki pintu tersebut, saya hampir pitam dengan bau dan habanya.. Bau kambing dengan najisnya. Bayangkanlah tempat diletakkan 500 ekor kambing. Walaupun najisnya tidaklah terlalu banyak. Tetapi tetap memeningkan juga.

Saya kembali meminta Syeikh Abu Bakar membawa kambing-kambing ini ke padang di luar. Dia terus berkata “ syuf anta lihaluk!”. (Kamu tengoklah sendiri) sambil mendepakan tangan kanannya kepada orang ramai yang berpusu-pusu di luar kandang dengan muka mereka seperti harimau melihat rusa ..

\"\"

Kami terpaksa juga menyembelih di dalam bangunan itu walau siksa untuk dihadap. Kambing-kambing ditarik ke bahagian tengah bangunan yang bersih dan bertanah. Pembantu yang menarik kambing pun tinggal 3 orang sahaja. Kami redah juga kerana by hook or by crook 500 ini mesti habis ini juga. Tinggal 44 lagi. Tak banyak dah!..pujuk kami pada diri sendiri.

Penyembelihan tetap dilakukan dalam keadaan sempit, haba yang panas dan berbau. Jangan bimbang, tempat kambing itu disembelih tetap bersih. Hanya surroundingnya sahaja yang menyeksakan.

Saya perasan bunyi di luar bangunan semakin bising. Macam medan perang. Getus saya dalam hati, kalau buat di luar ni, tak sempat sembelih saya!. Habis direbutnya nanti kambing-kambing ni. Nasib baik hidung dan otak sudah mula membiasakan diri dengan bau dan haba. Allah bantu.. Alhamdulillah syukur..

Lebih kurang jam 4.30 kami selesai menghabiskan semua baki 44 ekor. Kami segera keluar dari bangunan tersebut. Saya keluar dalam keadaan tangan memegang pisau sembelih dan baju yang penuh kesan darah. Disaksikan oleh orang ramai yang menanti diluar pintu. Mereka membuka jalan untuk saya lalu. Disaksikan oleh ratusan manusia yang ada. Terasa seperti gladiator yang baru sahaja menang pertempuran keluar dari gelanggang. Hahaha..

\"\"

Kami terus bergerak pergi. Dalam kekalutan mereka dengan daging korban. Masih lagi sempat menghantar kami dengan senyuman dan lambaian terima kasih. Kanak-kanak berlari mengejar van kami beramai-ramai sambil melambai kepada kami. Cermin van kami Dipegang dan ditepuk-tepuk sambil tersenyum menampakan gigi mereka yang putih pengganti kepada salam yang tak dapat dihulur.

Hanya itu sahaja yang kami perlukan sebagai upah kami berkerja sepanjang hari. Cukup menghibur dan memuaskan hati. Alhamdulillah.. Inilah nikmat kita berletih susah kerana Allah.. Cukup nikmat..

Sesampainya kami ke tempat penginapan, kami terus mandi dan bersiap. Dikatakan sempadan akan ditutup jam 6 petang. Waktu sangat kritikal. Jarak ke sempadan Cameroon tidaklah jauh. Hanya lebih kurang 20 km dari rumah penginapan kami. Hampir jam 6 petang baru kami habis bersiap. Berebut bilik air lagi. Makan pun lebih-lebih kurang sahaja. Delegasi 16 orang bukan sedikit. Tetapi Alhamdulillah..Allah masih bantu memudahkan…

Selesai bersiap kami terus bergerak dalam keletihan yang ada. Alhamdulillah. Paracetamol pemberian Ummi menghilangkan denyutan dan pening kepala saya. Adrenalin berterusan aktif untuk meneruskan perjalanan. Letih tetapi seronok. Kami teruskan juga perjalanan walaupun risiko gate ditutup adalah sangat tinggi. Negara yang sistemnya di dalam kepala pegawai ini terkadang ada kebaikannya juga. Itulah harapan kami untuk masuk nanti..

Alhamdulillah, kami sempat sampai di sempadan sebelum gatenya ditutup. Menunggu di sempadan untuk urusan dokumentasi satu penyiksaan juga. Tidak mengapalah… Teringat lantunan Al Marhum Ust Asri Rabbani di dalam lagu Musafir Kelana..

Penat dan lelah mainan safar
Tempuhi ranjau banyak bersabar
Letih dan lesu tidak menentu
Syurga menjadi idaman kalbu..

Alhamdulillah.. kami berjaya masuk ke Cameroon setelah hampir 2 jam menunggu. Walaupun baru lebih kurang pukul 8 atau 9, keadaan jalan sangat gelap keran tidak ada lampu jalan. Kami sudah tidak teruja untuk melihat-lihat keadaan sekeliling negara yang baru kami jejaki ini. Hanya tilam yang belum tentu selesa di tempat penginapan nanti yang bermain di fikiran..

Esok hari yang lebih mencabar menanti. 300 ekor lembu harus ditumbangkan.. Perlu segera rehat mengumpul tenaga.

Ops, saya terlupa untuk cerita bagaimana proses penyembelihan yang kami lakukan.. Memang sangat mencabar!..

Bersambung lagi lah ya…

Al Faqir Imam Muda Fakhrul
Kouserri, Cameroon
Hari Tasyrik Kedua 2018

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *